Sunday, April 25, 2010

Isteri 'Achik' di dunia & akhirat - Petikan Pacaindera


WASIAT Achik untuk 'berteman' dengan Rania di alam kekal menjadi kenyataan apabila akhirnya berhadapan pusara Rania dia disemadikan.


DI TEPI pintu yang bercermin, kala hari semakin gelap, seorang kanak-kanak kecil setia menanti. Sesekali dia mengintai, matanya melilau luas, mencari-cari ke luar rumah. Dengan puting susu erat di mulut, dalam pelat bahasa kanak-kanaknya, berkali-kali dia bertanya, 'Mana ayah? Mana ayah? Kenapa ayah tak sampai lagi ni?'

Penat menanti, akhirnya dia ketiduran tanpa mengetahui selama kehidupannya, dia akan terus menanti.

Ya, benar, semenjak malam itu, anak kecil berkenaan terus bertanya soalan yang sama. Mana ayah? Mana ayah? Kenapa ayah belum balik rumah?

Anak kecil yang bernama Sofia,3 tahun itu sebenarnya tidak akan sama sekali bertemu dengan jawapan kepada persoalan itu.

Ini kerana, lelaki yang ditunggu itu sudah menutup matanya, hayat hidupnya telah berakhir dan dia telah dipanggil semula oleh Allah SWT, pencipta sekalian alam.

Ayahnya, lelaki bernama Adillah Murad Md. Shari yang kita kenali sebagai Achik, pelantun suara kumpulan Spin itu meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan ngeri ketika perjalanan pulang ke rumah kelaminnya di Senawang, Negeri Sembilan pada 17 April lalu.

Kenderaan MPV yang dipandu arwah terbakar di tempat kejadian dan Achik disahkan meninggal sejurus selepas kemalangan di kilometer 14.7, Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas), Seremban, Negeri Sembilan.

Selain Sofia, Achik meninggalkan seorang lagi anak yang masih kecil, Safia, 10 bulan dan seorang balu, HM Rose Zaitul Suriani Wati Maarof (Tasha).

Anak pertama pasangan ini, Puteri Rania meninggal dunia selepas beberapa bulan dilahirkan kira-kira empat tahun lalu.

Kejadian ngeri yang membuatkan dalaman jasad penyanyi itu cedera serius, pembuluh darah pecah dan hatinya hancur berkeping-keping, selepas setengah jam berjanji di talian telefon untuk membawa keluarganya keluar makan selepas persembahan di Angkasapuri, Kuala Lumpur.

"Saya tidak pernah menyangka, anak-anak akan kehilangan ayahnya dengan cepat. Ketika Sofia dan Sumayyah (panggilan untuk di kecil) masih tidak kenal erti hidup, dia sudah pergi.

"Dulu ketika kami hilang Rania, arwah yang bagi saya kekuatan untuk teruskan kehidupan.

"Sekarang bila arwah yang jadi tulang belakang saya selama ini sudah pergi, saya tak ada sesiapa lagi. Hanya ada dua anak kecil yang tidak mengerti apa-apa. Saya sendiri tidak tahu macamana caranya saya hendak teruskan kehidupan selepas ini," luah Tasha dalam bicara tersekat-sekat, ketika saya dan teman-teman mengunjunginya, lima hari selepas perjalanan arwah ke alam barzakh.

Kami hadir untuk berkongsi rasa dari dalam diri Tasha sendiri, sementelah kami sendiri cukup mengenali Achik sebagai salah seorang penyanyi muda yang cukup baik, bersopan-santun dan berbudi bahasa orangnya.

Dia tidak pernah lokek keringat, malah selalu menerima pelawa Pancaindera untuk memeriahkan acara kami tanpa banyak tanya dan soal tentang ganjaran.

Malah, Achik yang kami kenali juga, bukan seorang artis yang bermasalah sehinggakan sukar sekali untuk mencari meski sekecil hama, sisi negatifnya selama ini.

Mula merinduinya

Melihat Tasha yang pada hari pengkebumian jenazah suaminya di Makam Tuan Haji Said, Seremban, wanita ini cukup tabah, malah jarang sekali menangis kala ditemubual media. Pun dalam pertemuan kali ini, dia berubah sama sekali.

Dalam pandangan matanya yang tidak 'segalak' dahulu, Tasha tidak mampu menahan air mata kata kami bertanya tentang perancangan untuk zuriat yang ditinggalkan arwah.

Barangkali kunjungan selepas lima hari kehilangan itu, telah membuatkan dia mula merindu. Jika sebelum ini dia hanya merasakan suaminya hilang kerana urusan kerja di luar daerah, hari kelima membuatkan dia sudah mencari-cari bau sang suami.

"Benar kak, saya sudah mula rindukan dia. Terbayang-bayang dia ada. Sofia pun lepaskan rindu dengan mencium baju arwah. Saya tak tahu, apa lagi yang perlu saya jawab, bila Sofia hari-hari bertanya mana Achik pergi," katanya lagi.

Menelaah nostalgia, mengenali Achik semenjak pertemuan pertama mereka pada Januari 2002, menurut Tasha dia tidak mungkin akan bertemu dengan lelaki sebaik Achik lagi.

Meskipun mencari untuk sepanjang hidup, dia tahu lelaki seperti Achik tidak akan ada duanya.

"Saya mahu menjadi isteri dia di dunia dan di akhirat. Saya tak akan fikirkan apa-apa lagi selepas ini kecuali anak-anak dan kenangan bersama arwah.

"Sepanjang hidup,masa bercinta, bertunang, lepas kahwin, dia tidak pernah sakitkan hati saya. Cakapnya tidak pernah tinggi . Pemergian Rania membuatkan dia selalu berpesan, kalau apa-apa terjadi kepada dirinya, dia mahu saya jangan menangis.

"Sebab itu, pada hari dia meninggal, di depan orang saya tidak menangis kerana saya ingat pesan dia walaupun dalam dada saya bagai mahu pecah menahan sedih. Tetapi sekarang entahlah, saya berasa sudah tidak kuat lagi," ceritanya lagi.

Setelah Achik tiada, barulah Tasha perasan bahawa arwah sudah meninggalkan beberapa alamat atas pemergiannya itu.

Ini termasuklah perilaku ganjil yang tidak pernah dada sebelum ini dan hanya setelah Achik tiada, barulah Tasha perasan akan segala perubahan itu.

"Dua minggu sebelum meninggal, dia cepat sensitif, suka bersedih. Selalu juga dia buat benda macam dalam keadaan tergesa-gesa. Angkat kain tergesa-gesa, berjalan tergesa-gesa, makan pun hendak cepat, sedangkan masa tu bukan banyak kerja pun, " imbasnya.

Ketika rumah teres setingkat yang suram itu kami tinggalkan, hati sebenarnya sangat berat. Masih mahu bersama 'meratah' pilu seorang isteri yang ditinggalkan, pun saya akur, sekuat mana pun kami mencuba, masih tidak dapat menyelami duka laranya. Sempat juga saya ingatkan Tasha, bahawa dia tidak perlu bersedih.

"Sekarang, Achik sedang bersama Rania. Tasha dengan Sofia dan Sumayyah, itu adil bukan?," dan wanita itu erat mendakap saya sebelum kami berpisah.

Di petang yang rembang, hati kami turut terkesan. Pilu kerana satu kehilangan teman yang budiman. Al-Fatihah.


Mengalir airmata mama.. tersedu-sedu membaca kisah isteri Arwah Achik Spin... mengenangkan anak perempuannya yang lebih kurang sebaya Aqilah... yang sedang petah berkata-kata... yang bijak bertanyakan apa saja yang terlintas dibenaknya... paling terharu bila masa dia menanti si ayah pulang ke rumah ...Allahuakbar... semoga ibu kamu diberikan kekuatan untuk menghadapinya ya nak...aduhai...semoga kalian diberikan kekuatan yang jitu.. doa mama semoga kalian kuat... al fatihah untuk arwah..


11 comments:

my little family / kaftanbatik said...

MA pun menangis :-(

SyaNa_SaN said...

sedih membaca entry ini. harap isteri achik terus kuat.. masih tergiang nyanyian achik 'paling comel'.

lady D said...

mmg sedih kan bl kehilangan org tersayang....rasanya semua akan menitiskan air mata...kesian anak2 yg kecil tu....

Lelord said...

uwaaaa xleh tahan

azhariahzuber said...

tak dpt bayangkan kalau jadi pada diri sendiri..seidhnya

Anonymous said...

sedihT__T

tapi itu lah takdir Allah swt...

@hasney^-^ said...

kak puteri, mencurah2 airmata ini berjujuran tatkala membaca coretan ini....aduhai, moga dirikita diberikan kekuatan untuk menghadapi saat2 getir seperti ini. Moga arwah tenang di sana, dan isteri achik tabah.

Anonymous said...

baca entry ni buat sy menangis...sungguh hebat dugaan yg diterima, semoga isteri arwah tabah menempuh cabaran yg mendatang utk membesarkan anak2.


kasih8953

.M.A.M.A. .D. said...

saya pun sedih akak..dah menitis air mata saya..rs ebak sgt2 akak..

msmiera tulip said...

sedih membaca luahan hati tasya... harap dia tabah... tuhan sayang kan arwah.. doakan yg t'baik..

murniezakaria said...

Setiap ujian yg Allah berikan ada hikmahnya... Saya juga mengalami situasi yg sama takala suami tercinta dijemput Ilahi semasa usia anak bongsu kami baru 5 bulan. Sampailah sekarang anak masih lagi bertanyakan bila ayahnya akan balik.....